Di antara kekuasaan dan kebesaran Allah Taala setiap jenis makhluk yang dicipta-Nya ada mempunyai tabiat dan watak yang tersendiri
Pada tabiat dan watak pada setiap jenis makhluk itulah peranan mereka
Tabiat dan watak yang ada pada setiap jenis makhluk itulah keistimewaan dan kekuatan jenis itu
Seperti ular tabiatnya mematuk dan ada mempunyai bisa
Melalui tabiatnya dan wataknya ia boleh hidup
Harimau tabiatnya garang, bengis, menerkam, ganas dan sangat menakutkan
Bermodalkan tabiat-tabiat dan watak-watak itu harimau boleh hidup
Tabiat dan watak pada setiap jenis makhluk itu ia boleh hilang atau dingin
Mungkin kerana ia telah diasuh oleh manusia, atau dipisahkan dengan binatang yang sejenisnya
Akhirnya rupanya ular, tabiatnya bukan ular lagi
Begitu juga harimau tapi tabiat dan wataknya bukan harimau lagi, makhluk lain pun sudah tidak takut
Begitulah manusia ia ada mempunyai tabiat dan wataknya yang tersendiri
Di antaranya pemalu, berkasih sayang, merendah diri, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, simpati, sedih dengan kesedihan orang
Tidak sampai hati, bekerjasama, suka berkawan
Tabiat dan watak semulajadi pada manusia ia boleh hilang
Mungkin kerana salah asuh dan salah didikan
Atau terbiar tanpa ada yang mendidik dan mengasuh
Atau bergaul dengan orang yang telah rosak tabiat dan watak semulajadinya
Maka apakah yang akan terjadi kepada manusia?
Iaitu rupanya masih kekal manusia tapi tabiatnya atau wataknya haiwan, atau kayu-kayan atau syaitan
Haiwan atau kayu-kayan atau syaitan yang berupa manusia
Itulah yang telah berlaku kepada ramai manusia di zaman ini
Tabiat dan watak semulajadinya sudah punah-ranah
Akibat salah asuh dan salah didikan
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi